الخميس، 29 مارس 2012

Kenangan Temuduga Biasiswa 2011


Selepas selesai pengumuman keputusan SPM yang lepas, ramai calon-calon SPM dengan keputusan yang cemerlang bergelut untuk melakukan persediaan bagi menghadapi temuduga biasiswa yang rancak diiklankan di media massa. Alhamdulillah saya pernah melalui saat-saat ini. Kepada sesiapa yang pernah melaluinya, mungkin saat ini dirasakan terlalu sukar untuk dihadapi kerana tidak lama selepas dikurniakan rezeki yang baik dalam peperiksaan, kini timbul pula tanggungjawab dan tugas berat bagi mengisi setiap borang temuduga yang diiklankan. Siapa tahu bahawa di setiap borang tawaran yang kita isi, rezeki kita mungkin terselit di situ. Mungkin ada yang berkata,

"Banyaknya borang kena isi, bagila aku enjoy dulu."

Tawaran-tawaran yang diiklankan biasanya muncul sehari selepas keputusan diumumkan. Ya, mungkin kita akan rasa keputusan cemerlang yang kita gapai hanya akan dapat diraikan tidak sampai 24 jam pun. Hal ini demikian kerana kebiasaannya pada keesokan harinya, pagi-pagi lagi ramai sudah mula "menyerang" kedai-kedai yang menjual surat khabar. Mungkin ada yang berasa tertekan atas desakan ibu bapa dan kesusahan dalam mengisi borang-borang tersebut. Manakan tidak, walaupun kebanyakan borang hanya diisi melalui talian "online", namun bermacam-macam kerenah dan kehendak dapat dilihat di setiap borang yang diisi. Ada yang suruh upload gambar, mahukan no. ID LHDN ibu bapa dan bermacam-macam lagi. Paling menghangatkan hati mungkin apabila setelah selesai mengisi pelbagai halaman, agensi tersebut menyuruh untuk menulis karangan "ringkas" tentang pencapaian yang telah digapai dalam kehidupan. Dengan rela hatinya saya mencapai tetikus di sisi dan menghalakan cursor ke arah butang "pangkah" dan sekali "klik", ia mengubah segalanya. Ya, itu suatu ketika dahulu.

Setelah selesai mengisi bermacam-macam borang tawaran, saya hanya mendapat dua tawaran iaitu daripada pihak MARA dan juga KPLSM. Alhamdulillah tempat temuduganya agak dekat dengan rumah. Banyak juga agensi yang menawarkan tempat temuduga di Kuala Lumpur, namun saya bersyukur Allah tidak menawarkan tawaran temuduga di situ kerana mungkin tiada rezeki saya di situ. Jadi tidak perlulah saya menyusahkan ibu bapa untuk menghantar saya jauh ke sana kerana tawaran biasiswa belum tentu berada dalam genggaman. Namun, nasib tidak menyebelahi kerana diri tidak dapat menghadiri kedua-dua temuduga kerana ia dilakukan pada hari yang sama. Setelah selesai solat istikharah apa semua, saya yakinkan diri untuk mencuba di temuduga MARA. Setelah selesai temuduga, baru saya sedar bahawa saya sebenarnya sempat untuk pergi mencuba di temuduga KPLSPM. Namun, atas sebab tidak mengisi hitam dan putih awal-awal, masa mungkin tidak mengizinkan.

Alhamdulillah Allah telah takdirkan diri ini serang menuntut ijazah perubatan di Iskandariah, Mesir. Kepada calon-calon yang menjumpai halaman ini, mungkin ada sedikit tips-tips yang berguna untuk dikongsikan bagi menghadapi setiap temuduga. Memandangkan hampir semua temuduga diadakan di dalam bahasa Inggeris, kemahiran komunikasi dalam bahasa Inggeris adalah sangat penting. Banyak juga saya beli surat khabar The Star bagi mengetahui perkembangan terkini dan yang paling penting, tulisannya dalam bahasa Inggeris. Namun ia mungkin tidak berkesan jika kita sendiri tidak berlatih mengucapkannya. Lakukan kaji selidik awal-awal lagi terhadap soalan yang mungkin disoal dalam temuduga dan sediakan jawapan yang terbaik bagi setiap soalan yang mungkin disoal.

Pada tahun lepas, temuduga MARA sangat menarik dan istimewa. Agensi ini lebih menilai kepimpinan dan attitude dalam berkumpulan dan soalan yang ditanya hanyalah satu. Yang lainnya hanyalah kerja bersama kumpulan. Apa yang paling penting, show to the interviewers that you are useful to the team. Jangan lupa untuk memperbanyakkan senyuman terhadap penemuduga dan rakan-rakan yang bersama di dalam dewan tersebut. Tolong hargai dan berterima kasih kepada rakan-rakan anda dalam sesi temuduga komunikasi dan insyaAllah rakan-rakan anda akan menghargai anda.

Lain-lain tip mungkin dapat dipelajari dalam pelbagai halaman lain. Carilah di sini, mungkin jawapannya akan keluar beratus-ratus mahupun beribu-ribu. Antara tip unik yang saya ingin kongsi ialah sentiasalah bertawakal dan memohon doa dengan bertawasul dengan 99 nama Allah yang kita sedia maklum. Firman Allah dalam surah Al A'araf ayat 180 maksudnya:

"Allah mempunyai Asma'ul Husna, maka bermohonlah kepadaNya dengan menyebut Asma'ul Husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-namaNya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan".

Sebelum masuk ke dewan temuduga, sebutlah "ya Muta'ali" banyak-banyak yang bermaksud maha suci ataupun maha tinggi dan "ya Awwal" yang bermaksud yang maha awal dengan harapan supaya insyaAllah para penemuduga akan menyenangi kita dan sebarang urusan berjalan dengan sempurna.

Demikian sahaja apa yang ingin dikongsikan tentang temuduga. Mungkin beberapa tips yang dikemukakan serba sedikit akan membantu dalam proses temuduga anda. Selamat berjaya :)

ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق