الخميس، 5 أبريل، 2012

Kanak-Kanak Pewaris Ummah


Tengahari itu agak indah dengan suhu sekitar 20 ®C yang saya kirakan tidaklah terlalu panas dan tidaklah terlalu sejuk pada awal musim bunga yang baru sahaja menjelma. Setelah beberapa bulan, saya kembali dengan pakaian kasual biasa iaitu T-shirt lengan pendek setelah berminggu-minggu jaket dan kot menyeliputi diri. Dengan suasana di negara Mesir yang kurang tumbuh-tumbuhan, suasana musim bunga tidaklah semeriah seperti di negara-negara lain terutamanya di benua Eropah kecuali di sesetengah tempat dan di sepanjang jalan yang mana bunga-bunganya hanyalah kelihatan seperti di celah-celah daun.

Saya berjalan keluar dari kampus utama perubatan universiti setelah tamatnya kelas praktikal anatomy di bilik mayat. Seperti biasa, kelas yang dijadualkan akan berlangsung selama 2 jam akan tamat satu jam awal. Azan zohor sudah lama berkumandang. Saya menyusuri kawasan laman kampus menuju ke sebuah masjid yang terletak bertentangan dengan kampus. Masjid besar itu kebiasaanya menjadi tempat pelajar-pelajar untuk menghilangkan penat lelah sambil menunggu untuk ke kelas yang seterusnya. Dengan suasana yang sunyi dan redup, suasananya sangat tenang dan selesa. Seperti biasa, saya duduk berehat sambil memerhatikan sekeliling kawasan masjid setelah selesai solat. Dan seperti tidak diduga, satu pemandangan yang cukup mengagumkan menarik perhatian saya.


Ya, gambar menunjukkan seorang kanak-kanak kecil sedang menjadi imam kepada seorang lagi kanak-kanak yang lebih besar susuk tubuhnya. Walaupun saya masih tidak mengerti mengapa kedudukan makmum berada di sebelah kiri imam, pemandangan itu sudah cukup mengagumkan. Saya sedar bahawa saya hanyalah seorang pelajar yang berhijrah di negara ini. Pemandangan ini mungkin biasa bagi penduduk-penduduk setempat namun sudah tentu tidak bagi saya dan juga mungkin bagi rakan-rakan yang lain. Terlintas di hati saya betapa besarnya semangat anak kecil ini yang mampu memegang ‘tugas’ yang kadangkala agak sukar untuk dipegang oleh orang orang muda dan dewasa seperti saya.

Setelah selesai solat, anak kecil ini dilihat berehat bersama rakannya di dinding masjid. Niat untuk berbual dengan anak kecil ini terhenti apabila seorang lelaki tua yang mungkin berbakti di masjid ini mengarahkan saya dan rakan-rakan untuk keluar dari masjid. Saya keluar tanpa sempat untuk bersua kenal dengannya. Sejenak di fikiran, alangkah untungnya ibu bapa jika mendapat anak seperti ini. Dan saya yakin dan pasti akan munculnya suatu saat yang mana lebih ramai lagi kanak-kanak Islam yang berilmu dan hebat akan lahir bagi meletakkan Islam kembali di tempat asalnya.

"Kanak-Kanak Pewaris Ummah"



الخميس، 29 مارس، 2012

Kenangan Temuduga Biasiswa 2011


Selepas selesai pengumuman keputusan SPM yang lepas, ramai calon-calon SPM dengan keputusan yang cemerlang bergelut untuk melakukan persediaan bagi menghadapi temuduga biasiswa yang rancak diiklankan di media massa. Alhamdulillah saya pernah melalui saat-saat ini. Kepada sesiapa yang pernah melaluinya, mungkin saat ini dirasakan terlalu sukar untuk dihadapi kerana tidak lama selepas dikurniakan rezeki yang baik dalam peperiksaan, kini timbul pula tanggungjawab dan tugas berat bagi mengisi setiap borang temuduga yang diiklankan. Siapa tahu bahawa di setiap borang tawaran yang kita isi, rezeki kita mungkin terselit di situ. Mungkin ada yang berkata,

"Banyaknya borang kena isi, bagila aku enjoy dulu."

Tawaran-tawaran yang diiklankan biasanya muncul sehari selepas keputusan diumumkan. Ya, mungkin kita akan rasa keputusan cemerlang yang kita gapai hanya akan dapat diraikan tidak sampai 24 jam pun. Hal ini demikian kerana kebiasaannya pada keesokan harinya, pagi-pagi lagi ramai sudah mula "menyerang" kedai-kedai yang menjual surat khabar. Mungkin ada yang berasa tertekan atas desakan ibu bapa dan kesusahan dalam mengisi borang-borang tersebut. Manakan tidak, walaupun kebanyakan borang hanya diisi melalui talian "online", namun bermacam-macam kerenah dan kehendak dapat dilihat di setiap borang yang diisi. Ada yang suruh upload gambar, mahukan no. ID LHDN ibu bapa dan bermacam-macam lagi. Paling menghangatkan hati mungkin apabila setelah selesai mengisi pelbagai halaman, agensi tersebut menyuruh untuk menulis karangan "ringkas" tentang pencapaian yang telah digapai dalam kehidupan. Dengan rela hatinya saya mencapai tetikus di sisi dan menghalakan cursor ke arah butang "pangkah" dan sekali "klik", ia mengubah segalanya. Ya, itu suatu ketika dahulu.

Setelah selesai mengisi bermacam-macam borang tawaran, saya hanya mendapat dua tawaran iaitu daripada pihak MARA dan juga KPLSM. Alhamdulillah tempat temuduganya agak dekat dengan rumah. Banyak juga agensi yang menawarkan tempat temuduga di Kuala Lumpur, namun saya bersyukur Allah tidak menawarkan tawaran temuduga di situ kerana mungkin tiada rezeki saya di situ. Jadi tidak perlulah saya menyusahkan ibu bapa untuk menghantar saya jauh ke sana kerana tawaran biasiswa belum tentu berada dalam genggaman. Namun, nasib tidak menyebelahi kerana diri tidak dapat menghadiri kedua-dua temuduga kerana ia dilakukan pada hari yang sama. Setelah selesai solat istikharah apa semua, saya yakinkan diri untuk mencuba di temuduga MARA. Setelah selesai temuduga, baru saya sedar bahawa saya sebenarnya sempat untuk pergi mencuba di temuduga KPLSPM. Namun, atas sebab tidak mengisi hitam dan putih awal-awal, masa mungkin tidak mengizinkan.

Alhamdulillah Allah telah takdirkan diri ini serang menuntut ijazah perubatan di Iskandariah, Mesir. Kepada calon-calon yang menjumpai halaman ini, mungkin ada sedikit tips-tips yang berguna untuk dikongsikan bagi menghadapi setiap temuduga. Memandangkan hampir semua temuduga diadakan di dalam bahasa Inggeris, kemahiran komunikasi dalam bahasa Inggeris adalah sangat penting. Banyak juga saya beli surat khabar The Star bagi mengetahui perkembangan terkini dan yang paling penting, tulisannya dalam bahasa Inggeris. Namun ia mungkin tidak berkesan jika kita sendiri tidak berlatih mengucapkannya. Lakukan kaji selidik awal-awal lagi terhadap soalan yang mungkin disoal dalam temuduga dan sediakan jawapan yang terbaik bagi setiap soalan yang mungkin disoal.

Pada tahun lepas, temuduga MARA sangat menarik dan istimewa. Agensi ini lebih menilai kepimpinan dan attitude dalam berkumpulan dan soalan yang ditanya hanyalah satu. Yang lainnya hanyalah kerja bersama kumpulan. Apa yang paling penting, show to the interviewers that you are useful to the team. Jangan lupa untuk memperbanyakkan senyuman terhadap penemuduga dan rakan-rakan yang bersama di dalam dewan tersebut. Tolong hargai dan berterima kasih kepada rakan-rakan anda dalam sesi temuduga komunikasi dan insyaAllah rakan-rakan anda akan menghargai anda.

Lain-lain tip mungkin dapat dipelajari dalam pelbagai halaman lain. Carilah di sini, mungkin jawapannya akan keluar beratus-ratus mahupun beribu-ribu. Antara tip unik yang saya ingin kongsi ialah sentiasalah bertawakal dan memohon doa dengan bertawasul dengan 99 nama Allah yang kita sedia maklum. Firman Allah dalam surah Al A'araf ayat 180 maksudnya:

"Allah mempunyai Asma'ul Husna, maka bermohonlah kepadaNya dengan menyebut Asma'ul Husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-namaNya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan".

Sebelum masuk ke dewan temuduga, sebutlah "ya Muta'ali" banyak-banyak yang bermaksud maha suci ataupun maha tinggi dan "ya Awwal" yang bermaksud yang maha awal dengan harapan supaya insyaAllah para penemuduga akan menyenangi kita dan sebarang urusan berjalan dengan sempurna.

Demikian sahaja apa yang ingin dikongsikan tentang temuduga. Mungkin beberapa tips yang dikemukakan serba sedikit akan membantu dalam proses temuduga anda. Selamat berjaya :)

الأربعاء، 21 مارس، 2012

Weyh, kau dapat berapa

"Weyh, kau dapat berapa?"

Ungkapan ini sangat popular tatkala keluarnya mana-mana keputusan peperiksaan awam. Pagi-pagi lagi handset memang sibuk dengan segala macam message dan panggilan baik daripada sahabat-sahabat mahupun nenek dan mak long yang berada di kampung.Alhamdulillah, ramai juga yang ambil berat pasal kita. Kalau berdasarkan pengalaman pada tahun lepas, rakan-rakan dah mula berkumpul dekat sekolah sehari sebelum keputusan diumumkan.

"Kenapa awal sangat? Semangat gila kawan-kawan kau nak ambik result."

Sekolah menengah saya dahulu terdiri daripada pelajar-pelajar yang datang dari segenap pelusuk tanah air kecuali Sabah dan Sarawak. Oleh sebab itu, suasananya agak berbeza dan lebih meriah. Malam sebelum keputusan diumumkan bolehlah ramai-ramai pergi cyber cafe layan counter strike atau dota berjam-jam ye dak? Oleh sebab jarak rumah ke sekolah tidak sampai 50 km, saya memang tidak berkesempatan merasai suasana ini. Ambil keputusan pun sudah tentu dengan ahli keluarga.

Sebut pasal peperiksaan awam ini, emosi yang ditunjukkan oleh setiap pelajar ketika mendapat keputusan haruslah berbeza. Buat yang tidak bernasib baik, usahlah bersedih kerana sesungguhnya rezeki itu datang daripada Allah dan Allah sentiasa merancang yang terbaik untuk kita asalkan kita berusaha dan bertawakal kepada-Nya. Sesungguhnya Allah tahu apa yang kita tidak tahu. Kita perlu sedar apabila kita gagal mendapat sesuatu, bersangka baiklah kepada Allah kerana Allah tidak sama sekali menghancurkan kita melainkan kita yang menghancurkan diri kita sendiri di dunia ini. Penah dengar ungkapan Bill Gates?

“I failed in some subjects in exam, but my friend passed in all. Now he is an engineer in Microsoft and I am the owner of Microsoft.”

lagi,

“I studied every thing but never topped.... But today the toppers of the best universities are my employees”

Kepada yang berjaya tahniah diucapkan, semoga kejayaan ini menaikkan semangat anda untuk menempa kejayaan di masa hadapan. Pilihlah kerjaya baik-baik, berhati-hati dan cubalah nasib di segenap temuduga biasiswa yang ditawarkan kerana mungkin salah satunya ada rezeki kita di situ. Menyentuh tentang hal-hal temuduga, tingkatkan keyakinan dan mahirkan diri dalam percakapan bahasa Inggeris. InsyaAllah saya akan membuat satu lagi entri tentang tip-tip temuduga dan contoh karangan yang saya karang tahun lepas yang mungkin serba sedikit akan membantu dalam persediaan anda dalam temuduga nanti. Akhir kalam hayatilah makna ungkapan ini:

"Allah doesn't you to be the best but Allah wants you to do your best and just give him the rest."



Wallahualam.

الأحد، 18 مارس، 2012

Kecintaan Rasulullah kepada Umatnya



وَمَآ أَرْسَلْنَـكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَـلَمِينَ 

Tafsiran Ar Rahman: Dan tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam

(Surah Al Anbiyaa' ayat 107)


Setelah mempelajari ilmu Sirah selama beberapa tahun ini, saya amat tertarik untuk berkongsi serba sedikit tentang beberapa aspek dan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah hidup Rasulullah S.A.W yang mampu kita jadikan teladan dan panduan dalam memenuhi ruangan hayat kita. Sesungguhnya, akhlak dan budi pekerti Rasulullah S.A.W mampu menggentarkan jiwa kepada sesiapa yang membacanya. Allah S.W.T telah mengurniakan rahmat yang sangat besar kepada baginda sehingga baginda digelar sebagai 'nabiyyur-rahmah' yang bermaksud nabi yang penuh rahmat.

Kemuliaan Rasulullah S.W.T terlalu hebat. Berbagai-bagai catatan menggambarkan keagungannya. Tatkala baginda menyusuri lorong-lorong di kota Mekah, seluruh makhluk tidak terkecuali tanaman, haiwan, pasir dan batu-batuan semuanya tunduk mengucapkan salam kepadanya. Seluruh umat Islam di dunia ini terus menerus menyebut nama baginda melalui syahadat dan selawat. Nama Rasulullah S.A.W tidak pernah berhenti sejak 1400 tahun yang lalu sehinggalah Yaumul Hisab mejemput kita semua suatu hari nanti. Sesungguhnya, keagungan dan keharuman nama baginda dijaga oleh Allah S.W.T sehinggalah di penghujung waktu.

Pernahkah kita membayangkan betapa besar dan tulusnya cinta Rasulullah S.W.T kepada kita? Sungguh, tiada seorang pun mampu menggambarkannya. Kaku bibir mengucapkannya, kelu lidah membicarakannya dan kering dakwat menulisnya. Melalui Al Qur'an, Allah S.W.T berfirman dalam Surah At Taubah ayat 128 yang bermaksud:

"Sungguh, sudah datang kepadamu seorang Rasul daripada kaumya sendiri, berat terasa olehnya melihat penderitaanmu, dia sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, dan kepada kaum mukminin dia amat berbelas kasih lagi penyayang"

Suatu hari, ketika duduk bersama para sahabat, tiba-tiba Rasulullah berkata sambil memegang janggutnya, "Alangkah rindunya aku mahu berjumpa dengan saudara-saudaraku."

Para sahabat bertanya, "Bukankah kami ini saudara-saudaramu ya Rasulullah?"

"Kalian sahabat-sahabatku dan aku mencintai kalian. Tetapi aku merindukan saudara-saudaraku."

"Siapa mereka ya Rasulullah?" tanya sahabat lagi.

Air mata Rasulullah S.A.W menitis membasahi janggutnya dan baginda berkata, "Saudara-saudaraku adalah orang-orang yang tidak hidup sezaman denganku, mereka yang tidak pernah berjumpa denganku, tapi mereka mencintaiku, membenarkan kata-kataku dan beriman kepadaku. Aku rindu kepada mereka, aku mencintai mereka."

Para sahabat menundukkan wajah mereka lalu ikut menangis.

Dalam suatu peristiwa lain, Siti Aisyah pernah menceritakan suatu ketika Nabi Muhammad tidak makan dengan kenyang selama tiga hari berturut-turut. Ketika Aisyah bertanya apa sebabnya, baginda menjawab,

"Selagi masih ada orang-orang miskin yang kelaparan di sekitar masjid, maka aku tidak akan kenyang."

Cinta Rasulullah S.A.W juga tidak terbatas kepada orang yang beriman sahaja. Namun, cinta Rasulullah bersifat universal dan menyeluruh. Baginda mencintai manusia meskipun kepada yang memusuhi dan menyakitinya. Hakikatnya puncak keinginan baginda adalah kebahagiaan hidup seluruh manusia di dunia dan di akhirat. Allah S.W.T berfirman dalam Surah Al Kahfi ayat 6 yang bermaksud:

"Maka (apakah) kamu akan membinasakan dirimu kerana bersedih hati selepas mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini."

Allah S.W.T juga berfirman dalam Surah Al Fathir ayat 8 yang bermaksud:

"Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya, maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka lakukan."

Sesungguhnya kecintaan Rasulullah S.A.W terhadap kita teramatlah besar. Baginda telah melakukan bermacam-macam pengorbanan demi memastikan kebahagiaan dan keselamatan manusia di dunia dan akhirat. Tidak terfikirkah bagaimana lahirnya seorang manusia yang pada awalnya hanya seorang diri menyebarkan dan menegakkan agama Allah S.W.T sehinggakan Islam dikenali di seluruh rantau pelusuk dunia. Selayaknya kesusahan ini dibalas dengan penuh rasa kesyukuran dan cinta kepada baginda. Jika kita tidak mencintai Rasulullah S.A.W, baginda tidak berasa rugi sedikit pun kerana kedudukan baginda tetap mulia di sisi Allah S.W.T. Bukan sekadar itu sahaja, cinta kepada Rasulullah S.A.W juga membawa manusia ke syurga.

Pada suatu ketika, seorang Arab Badwi datang menemui Rasulullah S.A.W lalu bertanyakan tentang Hari Kiamat. Rasulullah S.A.W bertanya,

"Apakah yang sudah engkau persiapkan bagi hari itu?

Orang Arab Badwi itu menjawab, "Ya Rasulullah, aku tidak memiliki apa-apa, tetapi aku mencintai Allah dan rasul-Nya."

Mendengar jawapan itu, Rasulullah S.A.W berkata,

"Engkau bersama orang yang engkau cintai."

Bahkan ada sebuah hadis nabi yang menyebutkan,

“ Barang siapa menghidupkan sunnahku, maka dia telah mencintaiku, dan siapa yang mencintaiku, maka kelak akan berkumpul bersamaku di syurga “. (HR. As Sijizi dari Anas bin Malik, lihat Al Jami’ush Shoghir)

Sekian sahaja buat masa ini, insyaAllah saya akan memuatkan kisah berkenaan Rasulullah di saat wafatnya pada suatu masa nanti. Semoga kita tergolong dalan golongan orang-orang yang dirindui dan dicintai Rasulullah insyaAllah. Semoga bermanfaat. Wallahualam



Allahumma solli ala Saidina Muhammad

Sumber Rujukan:

Alwi H. (2011) Uswatun Hasanah. Batu Caves, Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd.










الأربعاء، 14 مارس، 2012

Kejuruteraan Sebaik-Baik Kejadian



"لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ"

"Sungguh, Kami telah menjadikan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya"

Surah At Tin ayat 4


Terdetik di hati saya untuk berkongsikan serba sedikit tentang bidang ijazah yang saya ambil sekarang iaitu bidang perubatan. Sejak dari sekolah menengah lagi, sering terdengar di telinga saya bahawa bidang ini adalah antara yang tersusah untuk diambil dalam bidang pengajian. Buku-buku pembelajaran juga dikatakan terlalu tebal dengan tulisan yang sangat kecil. Ada juga yang berpendapat bahawa bidang ini sangat sukar untuk kaum lelaki yang kita serba maklum majoritinya kurang berminat untuk membaca.

Berdasarkan ayat di atas, antara pengajaran yang boleh saya ambil ialah apabila saya mengambil jurusan ini, saya perlu sedar bahawa saya sedang mengkaji salah satu ciptaan Allah yang sungguh hebat iaitu manusia. Segala syukur perlu dipanjatkan kerana Allah telah memberi saya peluang untuk terlibat dalam mengkaji dan mendalami ciptaan yang hebat ini. Bahkan, kelayakan dengan keputusan yang tinggi juga diperlukan di peringkat asasi dan juga matrikulasi bagi meneruskan pengajian dalam bidang perubatan.

Suka saya maklumkan bahawa jika bidang ini dipelajari dengan penuh tawadhuk dan teliti, manusia dapat mendekat diri kepada Allah. Bagaimana? jika diteliti sebaik-baiknya, kejadian manusia ini terjadi dengan bentuk yang sangat kompleks. Jadi tidak hairanlah jika jurusan ini adalah antara jurusan yang memakan masa lama bagi menamatkan pengajian di peringkat ijazah. Segala yang Allah jadikan di dalam badan kita mempunyai fungsi yang sangat unik dan hebat dari sekecil-kecil sel sehinggalah sebesar-besar organ. Malah, berapa banyak lagi misteri keajaiban ciptaan ini yang belum diterokai oleh manusia ataupun sudah hilang ditelan zaman.


Keseluruhan proses metabolik di dalam badan yang "sudah diterokai". Yang belum? Hebat bukan? Wallahualam

"Macam mana nak hafal satu buku tebal dan perlu jawab dalam masa sehari je, boleh ke?'

Mungkin ramai yang bertanya soalan ini. Masih di semester 2, saya juga mengakui yang saya juga masih tercari-cari tentang cara pembelajaran yang betul dalam bidang pengajian ini. Belajarlah teruk macam mana pun hari ini kerana ia mungkin berlalu pergi dalam masa yang sangat singkat bergantung kepada bagaimana cara kita belajar. Pengamalan ilmu merupakan cara yang terbaik. Namun ia sangat terhad memandangkan kebanyakan ilmu-ilmu yang dipelajari mungkin hanya dapat diamalkan dengan tempoh masa yang masih jauh iaitu setelah kita layak bergelar sebagai seorang doktor. Tetapi, saya telah menjumpai dua buah hadis yang sangat menarik untuk dikongsi berkenaan dengan cara pembelajaran yang baik dalam bidang perubatan.

Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Seorang lelaki dari kalangan orang Ansar telah datang mengadukan hal kepada Rasulullah s.a.w. Ia berkata: Wahai Rasulullah! Aku sungguhnya telah mendengar perkataanmu dan aku sangat kagum dan hairan dengan keindahannya, tetapi aku tidak dapat menghafaznya. Maka apa yang perlu aku lakukan? Maka sabda Nabi s.a.w:“Hendaklah engkau menggunakan tangan kananmu”. Sambil mengisyaratkan supaya ia menulis apa yang ia dengarkan”.

lagi,

Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Tiada ada dari keseluruhan sahabat Rasulullah s.a.w orang yang paling banyak meriwayatkan hadis lebih daripada aku, kecuali Abdullah Bin Umar, maka dia lebih banyak daripada aku, kerana dia menulis dan aku tidak menulis .Hadis Riwayat Bukhari, At Tirmizi

Berdasarkan dua hadis di atas, antara pengajaran yang saya dapat ambil ialah menulis ringkasan nota sangat membantu dalam menuntut ilmu perubatan. Hal ini demikian kerana ilmu hadis dan ilmu perubatan mempunyai sedikit persamaan terutamanya dari segi hafalan dan ingatan. Ia mungkin membantu serba sedikit dalam sejauh mana kita mampu mengusai ilmu ini.

Bidang perubatan merupakan antara bidang profesional yang banyak memerlukan pergaulan dengan masyarakat. Masyarakat mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap doktor. Misalnya, jika seorang doktor menyarankan ubat-ubat yang perlu diambil, berapa ramaikah yang meragui saranan doktor tersebut? Jika seorang doktor menyuruh seseorang pesakit untuk berhenti merokok kerana ia mungkin mampu menyebabkan kematiannya pada minggu yang berikut, mampukah pesakit tersebut memegang rokok pada keesokan harinya? Walaubagaimanapun ia hanyalah sebuah contoh, apa yang ingin saya sampaikan ialah bagi para dai'e yang ingin bergelar seorang doktor, medium perubatan ialah sebuah medium yang sangat baik dalam mengembangkan kerja-kerja dakwah. Hal ini demikian kerana anda mempunyai dua aspek yang sangat berguna iaitu anda mempunyai ilmu yang luas dan masyarakat percayakan anda.

Kesimpulannya, walau apa pun bidang ilmu yang kita pelajari, gunalah ilmu tersebut ke arah kebaikan dan kemajuan umat dan masyarakat. Sesungguhnya Allah tidak sia-sia dalam menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini, firmanNya:

وَ إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّيْ جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيْفَةً قَالُوْا أَتَجْعَلُ فِيْهَا مَن يُفْسِدُ فِيْهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَ نَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَ نُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّيْ أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُوْن

Tafsiran Ar Rahman: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

Pesanan ikhlas buat diri dan sahabat-sahabat........



الاثنين، 12 مارس، 2012

Kalam Pertama

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum,

Alhamdulillah, dah lama jugak saya pasang niat untuk buat benda ni.

"Apa kejadahnya Crescendo Carboxykinase ni? Nak sebut pun susah!

Pertama sekali, ada apa dengan Crescendo Carboxykinase ni? kalau cari dalam kamus tebal paras lutut pun belum tentu boleh jumpa punya. Okla, Sebenarnya hidup saya berkisar dengan dua benda ni:

a) Sains Kesihatan
b) Perempuan
b) Muzik

Nama ini adalah gabungan dua terminology berasingan yang saya pernah belajar tentang dua ilmu tersebut. Nak tahu maksudnya? boleh rujuk sini

"Habis tu, agama kau letak mana woih?"

Sabar dulu saudara, ya saya seorang Muslim dan saya bangga dengannya. Saya juga berazam untuk menggunakan medium ini untuk berdakwah semampu yang boleh. Rasanya tak perlu kot untuk highlight dalam nama. Jika tidak, apa bezanya saya dengan sahabat-sahabat di luar sana. Saya merupakan seorang pelajar yang sedang mengambil jurusan ijazah perubatan di Alexandria University. Alhamdulillah berada di bumi para anbiyaa'. Mungkin kenangan di sini boleh dikongsikan sedikit.

"Muzik? kau reti main muzik ke?"

Ya, muzik ialah suatu ilmu unik yang saya pernah belajar semasa sekolah menengah dulu. Ia banyak berkenaan masa dan juga matematik. Dari sudut "bahasa"nya juga sangat mencabar untuk dibaca. Saya pernah berkecimpung dalam arena drum dan percussion. Namun, akibat sibuk dengan tanggungjawab yang diamanahkan oleh ibu bapa dan rakyat untuk menjadi seorang doktor yang berjaya, sudah setahun lebih saya meninggalkan profesion ini. Namun, ia tetap dekat di hati.

Suatu ketika dahulu


Itu jela yang mampu dikongsikan sedikit tentang perihal diri.