وَمَآ أَرْسَلْنَـكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَـلَمِينَ
Tafsiran Ar Rahman: Dan tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam
(Surah Al Anbiyaa' ayat 107)
Setelah mempelajari ilmu Sirah selama beberapa tahun ini, saya amat tertarik untuk berkongsi serba sedikit tentang beberapa aspek dan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah hidup Rasulullah S.A.W yang mampu kita jadikan teladan dan panduan dalam memenuhi ruangan hayat kita. Sesungguhnya, akhlak dan budi pekerti Rasulullah S.A.W mampu menggentarkan jiwa kepada sesiapa yang membacanya. Allah S.W.T telah mengurniakan rahmat yang sangat besar kepada baginda sehingga baginda digelar sebagai 'nabiyyur-rahmah' yang bermaksud nabi yang penuh rahmat.
Kemuliaan Rasulullah S.W.T terlalu hebat. Berbagai-bagai catatan menggambarkan keagungannya. Tatkala baginda menyusuri lorong-lorong di kota Mekah, seluruh makhluk tidak terkecuali tanaman, haiwan, pasir dan batu-batuan semuanya tunduk mengucapkan salam kepadanya. Seluruh umat Islam di dunia ini terus menerus menyebut nama baginda melalui syahadat dan selawat. Nama Rasulullah S.A.W tidak pernah berhenti sejak 1400 tahun yang lalu sehinggalah Yaumul Hisab mejemput kita semua suatu hari nanti. Sesungguhnya, keagungan dan keharuman nama baginda dijaga oleh Allah S.W.T sehinggalah di penghujung waktu.
Pernahkah kita membayangkan betapa besar dan tulusnya cinta Rasulullah S.W.T kepada kita? Sungguh, tiada seorang pun mampu menggambarkannya. Kaku bibir mengucapkannya, kelu lidah membicarakannya dan kering dakwat menulisnya. Melalui Al Qur'an, Allah S.W.T berfirman dalam Surah At Taubah ayat 128 yang bermaksud:
"Sungguh, sudah datang kepadamu seorang Rasul daripada kaumya sendiri, berat terasa olehnya melihat penderitaanmu, dia sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, dan kepada kaum mukminin dia amat berbelas kasih lagi penyayang"
Suatu hari, ketika duduk bersama para sahabat, tiba-tiba Rasulullah berkata sambil memegang janggutnya, "Alangkah rindunya aku mahu berjumpa dengan saudara-saudaraku."
Para sahabat bertanya, "Bukankah kami ini saudara-saudaramu ya Rasulullah?"
"Kalian sahabat-sahabatku dan aku mencintai kalian. Tetapi aku merindukan saudara-saudaraku."
"Siapa mereka ya Rasulullah?" tanya sahabat lagi.
Air mata Rasulullah S.A.W menitis membasahi janggutnya dan baginda berkata, "Saudara-saudaraku adalah orang-orang yang tidak hidup sezaman denganku, mereka yang tidak pernah berjumpa denganku, tapi mereka mencintaiku, membenarkan kata-kataku dan beriman kepadaku. Aku rindu kepada mereka, aku mencintai mereka."
Para sahabat menundukkan wajah mereka lalu ikut menangis.
Dalam suatu peristiwa lain, Siti Aisyah pernah menceritakan suatu ketika Nabi Muhammad tidak makan dengan kenyang selama tiga hari berturut-turut. Ketika Aisyah bertanya apa sebabnya, baginda menjawab,
"Selagi masih ada orang-orang miskin yang kelaparan di sekitar masjid, maka aku tidak akan kenyang."
Cinta Rasulullah S.A.W juga tidak terbatas kepada orang yang beriman sahaja. Namun, cinta Rasulullah bersifat universal dan menyeluruh. Baginda mencintai manusia meskipun kepada yang memusuhi dan menyakitinya. Hakikatnya puncak keinginan baginda adalah kebahagiaan hidup seluruh manusia di dunia dan di akhirat. Allah S.W.T berfirman dalam Surah Al Kahfi ayat 6 yang bermaksud:
"Maka (apakah) kamu akan membinasakan dirimu kerana bersedih hati selepas mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini."
Allah S.W.T juga berfirman dalam Surah Al Fathir ayat 8 yang bermaksud:
"Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya, maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka lakukan."
Sesungguhnya kecintaan Rasulullah S.A.W terhadap kita teramatlah besar. Baginda telah melakukan bermacam-macam pengorbanan demi memastikan kebahagiaan dan keselamatan manusia di dunia dan akhirat. Tidak terfikirkah bagaimana lahirnya seorang manusia yang pada awalnya hanya seorang diri menyebarkan dan menegakkan agama Allah S.W.T sehinggakan Islam dikenali di seluruh rantau pelusuk dunia. Selayaknya kesusahan ini dibalas dengan penuh rasa kesyukuran dan cinta kepada baginda. Jika kita tidak mencintai Rasulullah S.A.W, baginda tidak berasa rugi sedikit pun kerana kedudukan baginda tetap mulia di sisi Allah S.W.T. Bukan sekadar itu sahaja, cinta kepada Rasulullah S.A.W juga membawa manusia ke syurga.
Pada suatu ketika, seorang Arab Badwi datang menemui Rasulullah S.A.W lalu bertanyakan tentang Hari Kiamat. Rasulullah S.A.W bertanya,
"Apakah yang sudah engkau persiapkan bagi hari itu?
Orang Arab Badwi itu menjawab, "Ya Rasulullah, aku tidak memiliki apa-apa, tetapi aku mencintai Allah dan rasul-Nya."
Mendengar jawapan itu, Rasulullah S.A.W berkata,
"Engkau bersama orang yang engkau cintai."
Bahkan ada sebuah hadis nabi yang menyebutkan,
“ Barang siapa menghidupkan sunnahku, maka dia telah mencintaiku, dan siapa yang mencintaiku, maka kelak akan berkumpul bersamaku di syurga “. (HR. As Sijizi dari Anas bin Malik, lihat Al Jami’ush Shoghir)
Sekian sahaja buat masa ini, insyaAllah saya akan memuatkan kisah berkenaan Rasulullah di saat wafatnya pada suatu masa nanti. Semoga kita tergolong dalan golongan orang-orang yang dirindui dan dicintai Rasulullah insyaAllah. Semoga bermanfaat. Wallahualam
Allahumma solli ala Saidina Muhammad
Sumber Rujukan:
Alwi H. (2011) Uswatun Hasanah. Batu Caves, Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd.
Sumber Rujukan:
Alwi H. (2011) Uswatun Hasanah. Batu Caves, Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd.
ليست هناك تعليقات:
إرسال تعليق