Tengahari itu agak indah dengan suhu sekitar 20 ®C yang saya kirakan tidaklah terlalu panas dan tidaklah terlalu sejuk pada awal musim bunga yang baru sahaja menjelma. Setelah beberapa bulan, saya kembali dengan pakaian kasual biasa iaitu T-shirt lengan pendek setelah berminggu-minggu jaket dan kot menyeliputi diri. Dengan suasana di negara Mesir yang kurang tumbuh-tumbuhan, suasana musim bunga tidaklah semeriah seperti di negara-negara lain terutamanya di benua Eropah kecuali di sesetengah tempat dan di sepanjang jalan yang mana bunga-bunganya hanyalah kelihatan seperti di celah-celah daun.
Saya berjalan keluar dari kampus utama perubatan universiti setelah tamatnya kelas praktikal anatomy di bilik mayat. Seperti biasa, kelas yang dijadualkan akan berlangsung selama 2 jam akan tamat satu jam awal. Azan zohor sudah lama berkumandang. Saya menyusuri kawasan laman kampus menuju ke sebuah masjid yang terletak bertentangan dengan kampus. Masjid besar itu kebiasaanya menjadi tempat pelajar-pelajar untuk menghilangkan penat lelah sambil menunggu untuk ke kelas yang seterusnya. Dengan suasana yang sunyi dan redup, suasananya sangat tenang dan selesa. Seperti biasa, saya duduk berehat sambil memerhatikan sekeliling kawasan masjid setelah selesai solat. Dan seperti tidak diduga, satu pemandangan yang cukup mengagumkan menarik perhatian saya.
Ya, gambar menunjukkan seorang kanak-kanak kecil sedang menjadi imam kepada seorang lagi kanak-kanak yang lebih besar susuk tubuhnya. Walaupun saya masih tidak mengerti mengapa kedudukan makmum berada di sebelah kiri imam, pemandangan itu sudah cukup mengagumkan. Saya sedar bahawa saya hanyalah seorang pelajar yang berhijrah di negara ini. Pemandangan ini mungkin biasa bagi penduduk-penduduk setempat namun sudah tentu tidak bagi saya dan juga mungkin bagi rakan-rakan yang lain. Terlintas di hati saya betapa besarnya semangat anak kecil ini yang mampu memegang ‘tugas’ yang kadangkala agak sukar untuk dipegang oleh orang orang muda dan dewasa seperti saya.
Setelah selesai solat, anak kecil ini dilihat berehat bersama rakannya di dinding masjid. Niat untuk berbual dengan anak kecil ini terhenti apabila seorang lelaki tua yang mungkin berbakti di masjid ini mengarahkan saya dan rakan-rakan untuk keluar dari masjid. Saya keluar tanpa sempat untuk bersua kenal dengannya. Sejenak di fikiran, alangkah untungnya ibu bapa jika mendapat anak seperti ini. Dan saya yakin dan pasti akan munculnya suatu saat yang mana lebih ramai lagi kanak-kanak Islam yang berilmu dan hebat akan lahir bagi meletakkan Islam kembali di tempat asalnya.
"Kanak-Kanak Pewaris Ummah"